BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.
Rasulullah SAW menyebut: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu.” (Riwayat al-Bazzar: Albani)
Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya: “Demi Fajar dan hari-hari yang 10.” (Al-Fajr, 1)
Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)
Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya: “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini.” (Riwayat Al-Bukhari)
Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:
1. Berzikir.
Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28)
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.
2. Berpuasa.
Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah.” (Riwayat Muslim)
Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.
Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.
4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.
Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
5. Bertakbir.
Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.
6. Melakukan sembelihan korban.
Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)
Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya: “Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.
Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain.
Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.
Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.
Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.
Firman Allah SWT: “Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)
Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.
Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya: “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir,” (Al-Haj, 28) dan ayat ke-36 surah Al-Haj: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya.”
Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal).
Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.
No comments:
Post a Comment